Pada diri manusia ada daya tarikan yang saling berhubung dengan daya tarikan manusia lain. Maksudnya, jika kita positif dan orang lain juga positif, maka kita akan mudah tertarik dan berhubung dengann harmoni. Pepatah lama mengatakan, burung yang sama bulu kepak dan warnanya akan terbang sekawan. Keceriaan kita akan menarik orang yang ceria untuk bersama kita. Keceriaan itu mudah ‘berjangkit’. Orang yang ceria sering dilingkungi oleh individu, situasi dan keadaan yang ceria juga.
Suasana yang semacam itulah yang akan membahagiakan cinta dalam rumah tangga. Bila kita ceria, fikiran, tindakan, perasaan dan kata-kata kita juga akan turut ceria. Percayakah anda kalau dikatakan untuk mudah belajar, bekerja dan melakukan apa jua aktiviti dengan lebih baik dan berkualiti maka keceriaan itulah yang menjadi syaratnya? Ada hormon endroomorphin yang akan dirembeskan dalam tubuh orang yang ceria. Hormon yang akan memberi rasa tenang, seronok dan gembira. Inilah yang ditegaskan oleh pakar-pakar NLP.
Sebaliknya, orang yang negatif – asyik marah-marah dan merungut, hormon kortisol pula yang akan akan dirembeskan. Hormon ini akan menurunkan darjah keceriaan dan individu itu akan menjadi pemurung, pemarah dan perungus. Orang yang asyik marah-marah, merungut, mengeluh dan membebel akan ‘meletihkan’ pasangannya Ingatlah tidak ada siapapun suka orang yang pemurung atau perampus.
Dia akan menghantar ‘gelombang’ yang negatif dan sebagai balasannya dia juga.akan menerima reaksi yang negatif. Hukum daya tarikan pun berlaku tetapi kali ini ke arah yang sebaliknya. Gelombang negatif ini akan menghakiskan rasa ceria dan gembira dan lambat laun akan turut meranapkan perasaan cinta. Ingat, cinta itu umpama pohon, jika tidak dibajai ia akan layu dan mungkin akan mati. Salah satu baja untuk cinta ialah memberi perasaan gembira kepada orang yang kita cintai.
Cinta tidak dapat diraih dengan ugutan dan ancaman. Ia soal hati yang memberi dan menerima dengan rela. Cinta tidak boleh dipaksa. Gelombang cinta bergerak dalam susunan rasa indah bagaikan satu simponi pada satu gubahan ‘muzik’ yang sinergi dan harmoni. Mainkan muzik cinta itu… ia akan datang dengan senyuman, sentuhan dan pandangan mata yang penuh indah dan berwarna-warni. Sungguh indah!
Untuk bacaan lanjut sila klik sini
No comments:
Post a Comment